CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, 13 December 2011

ikhlas

0     DEFENISI IKHLAS MENURUT BAHASA

Ikhlas berasal dari perkataan ikhlas yang merupakan bentuk masdar dari akhlasa-yukhlisu. Jadi, ia merupakan perkataan dari huruf dasar kha-la-sha yang menunjukkan makna penyucian. Perkataan al-Khalish iaitu  yang membawa makna suci atau bersih mengandungi makna bahawa kesucian memiliki campuran yang tertentu. Sementaraitu, perkataan asy-Shafi digunakan untuk sesuatu yang telah menjadi suci dan bersih tanpa campuran apa pun.
    Dalam penggunaan Mufradatar-Ragib, Ibnu Manzu rmengatakan bahawa khalasha asy-syay’u merupakan sesuatu yang pernah memiliki campuran di dalamnya dan kemudiannya dipisahkan sehingga menjadi benar-benar bersih. Perkataan akhlasha lillahi dinahu bermakna menjadikan agama Allah swt sebagai agama yang dianut oleh seorang hamba. Manakala, perkataan akhlasha asy-syay’a bermakna memilih agama yang diingininya.
    Perkataan al-Mukhlashin menurut Tsa’lab adalah orang-orang yang menyerahkan ibadah mereka kepada Allah semata-mata.Ini kerana, hati mereka telah disucikan oleh Allah swt.Makna lain bagi al-Mukhlashun juga disebut sebagai orang-orang yang terpilih. Manakala, al-Mukhlishin adalah penganut monoteisme dan bertuhankan Allah swt sahaja.Oleh itu, perkataan ikhlas bersinonim dengan perkataan tauhid (la ilahaillallah).
   
3.0     DEFINISI IKHLAS MENURUT TOKOH ISLAM
Secara terminologinya, makna ikhlas juga didefinisikan oleh beberapa tokoh Islam. Antaranya ialah, Kafawi, Munawi, Jurjani, as-Susi, Sahal at-Tasturi, Ibrahim bin Adham, dan juga Abu Uthman al-Maghribi.
    Kafawi berpendapat ikhlas adalah beribadah dengan meniatkan penyembahan terhadap sesuatu yang disembah. Ikhlas ini juga dapat diertikan sebagai penyucian rahsia, perkataan dan amal.
    Jurjani pula berpendapat bahawa ikhlas adalah tidak meminta orang lain sebagai saksi dalam beramal, tetapi hanya Allah swt sahajalah yang menjadi saksi dalam amal ibadatnya.
    As-Susi berkata ikhlas adalah sikap yang tidak diperlukan dalam menilai diri seseorang kerana sememangnya setiap orang ikhlas dalam beramal. Oleh itu,sesiapa yang menganggap yang dirinya telah ikhlas dalam beramal, dia memerlukan ikhlas yang lain dalam mempraktikkan ikhlas yang tadi.   
    Manakala, Sahal at-Tasturi mengatakan maksud sebenar ikhlas tidak dapat ditemui kecuali dalam kaitan hal yang berikut. Apa yang dimaksudkan ialah, semua gerakan dan diam seseorang itu, samaada secara terang-terangan mahupun sembunyi, adalah untuk Allah swt. Selain itu, individu itu tidak pula menduakan Allah dengan orang lain, hawa nafsu atau tujuan dunia yang lain.
    Ibrahim bin Adham pula mengatakan maksud ikhlas ialah ketulusan niat yang hanya ditujukan untuk Allah swt sahaja.
    Abu Uthman al-Maghribi pula berkata, ikhlas merupakan sikap seseorang yang tidak mempedulikan pandangan seluruh makhluk terhadap amal yang dilakukannya melainkan dia selalu merasakan bahawa amal perbuatannya sentiasa dilihat dan diawasi oleh Allah S.W.T.

4.0    CIRI-CIRI UTAMA IKHLAS
Pada dasarnya, sangat mustahil untuk membezakan antara hamba yang benar-benar ikhlas dan tidak ikhlas, ini kerana hanya Allah swt sahaja yang dapat mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati manusia. Walaupun begitu, terdapat beberapa ciri yang boleh kita ketahui untuk mengetahui perbuatannya yang benar-benar ikhlas.
    Ciri yang pertama ialah, mengakui kekurangan yang ada pada dirinya dan selalu menyalahkan diri sendiri. Dalam kitab Bukhari ada menyebut bahawa Ibnu Abi Mulaikah mengetahui sejumlah tiga puluh orang sahabat Nabi Muhammad saw yang memiliki keimanan yang kuat. Walaupun begitu, mereka tidak pernah mengakui yang tahap keimanan mereka adalah sama dengan iman yang dimiliki oleh Jibrail as.
    Hasan Basri selalu memburuk-burukkan dirinya dan berkata, ‘Wahai jiwaku, engkau sentiasa mengaku bahawa engkau adalah dari kalangan orang yang soleh, sentiasa berdoa dan kuat ibadatnya. Namun engkau sering melakukan perkara yang layak digelar sebagai fasik dan riak. Demi Allah, ini bukanlah sifat dalam kalangan orang-orang yang saleh’.
    Ciri yang kedua ialah tidak bangga dengan pujian yang diberikan oleh manusia. Dalam al-Fawaid, Ibnu Qayyim berkata bahawa ikhlas tidak akan dapat dimiliki oleh seseorang sekiranya memiliki  sifat yang selalu ingin dipuji oleh orang lain. Apa yang dapat dipastikan ialah orang-orang yang sangat tamakkan dengan hal-hal keduniaan sangat susah untuk mendapatkan ikhlas dalam diri.
    Oleh itu, untuk mendidik diri menjadi seseorang yang benar-benar ikhlas ialah dengan menghapuskan sikap tamak yang ada dalam diri. Selain itu, perasaan yang sentiasa ingin dipuji mestilah dilawan dengan sifat zuhud yang merupakan seseorang yang sangat merindukan kehidupan akhirat. Untuk menghapuskan sikap tamak dalam diri adalah dengan menanamkan keyakinan dalam diri bahawa Allah s.w.t sahaja yang memiliki benda yang diingini oleh manusia. Tidak ada seorang pun makhluk lain yang memiliki harta yang banyak sebagaimana Allah ada. Perasaan yang ingin dipuji hendaklah  dihilangkan dengan menanam keyakinan bahawa tidak ada satu pujian yang dapat mendatangkan manfaat malah tidak ada satu celaan pun yang mencelakan manusia kecuali pujian atau celaan itu datang dari Allah swt.
    Ciri yang ketiga ialah sentiasa menyembunyikan amal kebajikan daripada orang lain. Hasan berkata, “ Dahulu, terdapat orang mukmin yang menghafal al-quran tetapi tetangganya tidak mengetahuinya. Ada juga di antara mereka yang memahami fiqh dengan mendalam. Ada juga yang memperbanyak solat malam tetapi orang lain tidak mengetahuinya. Orang muslimin pada zaman dahulu sangat kuat dan rajin dalam berdoa dan tidak menyebarkan kepada orang lain perkara yang mereka lakukan. Mereka hanya mengeluarkan suara ketika berdoa  kepada Allah. Ini kerana ada dalil yang menyebutkan bahawa berdoa dengan Allah dengan suara yang amat lembut dan rendah hati.”
آدعُواْرَبَّكُم تَضَرُّعًاوَخُفيَةً إنَّهُ,لاَيُحِبُّ المُعتَدِينَ
(al-A’raf 7:55)
    Maksudnya :
Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.
Ciri yang keempat ialah tidak senang hati perbuatan yang dilakukan dapat dirasakan oleh orang lain. Ada sebahagian hamba Allah yang dapat merasakan kenikmatan pada bulan puasa. Oleh itu mereka melakukan pelbagai amalan ibadah yang dikehendaki oleh Allah swt. Namun, apabila dikehendaki untuk membahagikan harta kepada kaum kerabat yang kelaparan atau para  muslimin yang miskin,mereka tidak mahu melakukannya.

5.0    LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN IKHLAS

Setiap mukmin sejati sentiasa mengidam-idam untuk mencapai tahap ikhlas  dalam diri samaada dalam bentuk tindakan mahupun perkataan. Terdapat beberapa cara yang boleh diterapkan dalam diri mukmin untuk mendapat keredaan Allah swt.
    Cara yang pertama ialah berharap kepada Allah. Untuk menggapai keikhlasan bukanlah perkara yang mudah namun hal ini adaah sangat mudah bagi mereka yang telah dimudahkan oleh Allah untuk menempuh jalan ikhlas. Rasulullah saw bersabda:



.....وَإِذَا سَاَلتَ فَاسْأَل اللَّه، وَإِذَا استَعَنْتَ فَا ستَعِنْ بِاللَّهِ.
    Maksudnya:
..... bila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan jika kamu mengharapkan pertolongan, maka mintalah pertolongan hanya kepada Allah.
    Cara yang kedua ialah manguasai bahayanya sifat riak. Seorang manusia tidak akan tahu apabila dia bersifat riak kecuali orang yang ikhlas. Mukmin yang kembali kepada Allah harus mengetahui kepentingan ikhlas, fadilat dan kedudukan ikhlas di mata Islam. Setiap orang hendaklah berjaga-jaga setiap perbuatan yang dilakukan tidak termasuk dengan sifat riak. Haruslah sentiasa ingat perkara yang dilakukan adalah untuk mendapat keredaan Allah semata-mata.
    Cara yang ketiga ialah membaca riwayat orang yang soleh dan ikhlas.  Dengan membaca riwayat hidup orang-orang yang soleh, maka jiwa dapat dipenuhi dengan kekuatan dari kisah mereka untuk meningkatkan semangat bagi mendapatkan keredaan Allah. Selain daripada mengingati tujuan manusia di muka bumi Allah, pembacaan dapat menerangi hati yang kusam dan membantu manusia untuk mendapatkan keikhlasan dalam hidup. Abu Hanifah berkata, ‘Sesungguhnya aku lebih menggemari riwayat hidup daripada para ulama berbanding dengan ahli fiqh kerana  mereka merupakan adab dan perangai dari sesuatu kaum.’
    Langkah yang seterusnya ialah mengingati sifat dunia yang fana. Bumi merupakan alam yang tidak kekal. Setiap amalan yang kita lakukan sepanjang hayat akan dikira di akhirat kelak. Oleh itu, janganlah kita terpesona dengan keindahan dunia yang tidak kekal ini. Dunia  merupakan tempat untuk bercucuk tanam dan melakukan ibadat kepada Maha Pencipta.




6.0     PENDAPAT ULAMA SUFI TENTANG SIFAT IKHLAS   

As- Susi berkata, “Ikhlas  ialah usaha menghilangkan pandangan ikhlas. Sebab, orang yang menyatakan  keikhlasannya itu suatu keikhlasannya memerlukan keikhlasan tambahan.Sahal pernah ditanya, “Halangan apakah  yang paling berat bagi jiwa? “Ia menjawab, keikhlasan kerana keikhlasan tidak menyediakan ruang untuk ungkapan ikhlas. Tambahnya lagi, ikhlas ialah diam dan aktiviti- aktiviti seseorang semata- mata ditujukan kerana Allah.Menurut Al- Junaid, “ikhlas ialah membersihkan amal- amal dari hal –hal yang dapat menodainya.Al– Fudhail mengatakan, “Meninggalkan sesuatu amal demi sesama manusia itu disebut ria’ dan melakukan sesuatu amal demi sesama manusia disebut syirik. Sedangkan sikap ikhlas ialah melakukan atau meninggalkan  suatu malam demi Allah S. W.T  sahaja dan terbebas dari kedua hal di atas.”Ada pendapat  yang mengatakan, “Ikhlas ialah pengawasan yang terus menerus dan melupakan semua bahagian disisinya.

7.0   KAITAN IKHLAS DALAM KEHIDUPAN MUSLIM
        7.1    IBADAH   

Niat yang ikhlas merupakan faktor penting dalam setiap amal.Ini kerana dalam banyak amal Islam,niat yang ikhlas merupakan rukun terpenting dan utama. Niat yang ikhlas kerana Allah dalam melakukan kebaikan membuatkan seseorang memiliki perasaan yang ringan dalam mengerjakan amal-amal yang berat sekalipun.Apatah lagi,dalam mengerjakan amalan yang ringan maka bertambah-tambah rajin melakukan amalan tersebut. Tanpa sifat ikhlas dalam hati,  jangankan amal yang berat inikan pula amal yang ringan pun boleh menjadi berat.Sesungguhnya niat ikhlas dalam hati tanpa amal adalah lebih baik berbanding amal tanpa keikhlasan.
    Seterusnya, ikhlas dalam ibadah membuatkan seseorang itu berkesinambungan dalam mengerjakan amal kebaikan seperti melakukan solat-solat sunat,berzikir memuji kebesaran Allah S. W .T,membaca Al-Quran,  dan sebagainya. Sikap malas beribadah juga tidak wujud sebaliknya suka menjadikan ibadah itu sebagai amalan wajib seharian.Orang yang ikhlas itu tidak akan bersemangat melakukan amalan-amalan mahmudah tersebut kerana dipuji oleh masyarakat dan tidak akan lemah tanpa dicela. Walaupun adanya pujian atau celaan itu tidak akan berjaya membuatnya terpengaruh dengan begitu mudah.Ini bermakna kaitan ikhlas dalam ibadah seseorang itu sangat berkait rapat.
    Seseorang yang ikhlas dalam ibadahnya sentiasa menyandarkan rasa cintanya kepada Allah,memohon segala kejayaan didunia dan kebahagiaan diakhirat kelak,serta sentiasa menyerahkan hajat-hajatnya cuma kepada Allah yang Esa.Di sinilah hubungan seseorang hamba itu adalah lebih terasa dekat kepada Penciptanya.Ini kerana,ketika seseorang itu berdoa kepada Allah tidak ada sebarang hijab yang dapat menghalang hambanya yang ikhlas itu.Hubungan inilah yang dikatakan hikmat dan rahmat bagi setiap individu muslim tersebut.Malahan,ketika beribadah juga hambanya yang ikhlas itu akan khusyuk dan meninggalkan segala hal duniawi untuk sementara waktu sehinggalah ibadah solat tersebut selesai dilakukan.

    7.2    PEKERJAAN       
Seseorang itu akan menjadikan pekerjaannya sebagai satu ibadah dan sentiasa ikhlaskan dirinya untuk bekerja kerana Allah di samping mencari rezeki yang halal lagi berkat serta mencari keredhanNya.Dia juga akan sentiasa menyedari hakikat bahawa tugas yang dipikulnya itu adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya tanpa sebarang sifat-sifat mazmumah yang disimpan dalam lubuk sanubari.
    Seterusnya,dalam bidang pekerjaan juga  seseorang itu akan sering dan suka mempamerkan senyumannya  yang ikhlas seperti hatinya itu.Dia akan sentiasa bermanis muka sepanjang masa waktu perkhidmatannya.Hal demikian membuatkan masyarakat berasa senang dan rasa diri mereka dihormati.Maka,Allah akan memudahkan segala urusannya tanpa sebarang kekangan dan masalah.
    Selain itu,seseorang yang ikhlas itu juga sentiasa berhati mulia dalam menjalankan tugas tanpa mengharapkan  sebarang balasan pangkat, pujian daripada pihak atasan  atau perhatian rakan sekerja. Malah,dia juga sentiasa memastikan tidak berlaku penyelewengan dalam tugas yang telah diamanahkan kepadanya sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan peralatan serta tenaga kerja.
    Keempat, menghindarkan kepentingan diri yang kurang penting dengan ikhlas  hati dari mengatasi kepentingan tugas.Di sini,tugas adalah menjadi keutamaan  dan dilaksanakan terlebih dahulu daripada keperluan diri sendiri.Sebarang kepentingan diri individu tersebut akan dikikis sedikit demi sedikit sebagai asas pengisian amanah yang telah dipikul.Malah,sanggup merubah sifat-sifat diri yang kurang sesuai  untuk kemaslahatan organisasi kerja.
    Terakhir,seseorang yang ikhlas itu turut melakukan tugasnya dengan kesedaran terhadap implikasi baik dan buruknya iaitu sentiasa waspada dan jujur. Di sini, seseorang itu akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa bijak membuat pertimbangan yang rasional dalam setiap perkara yang berkaitan dengan pekerjaannya.Malahan,dia tidak akan  membuat sebarang tindakan mengikut hawa nafsu sebaliknya menggunakan akal  fikiran yang rasional.


7.3    HUBUNGAN SESAMA MANUSIA
    7.3.1    INDIVIDU
Dalam kehidupan seharian bagi seseorang individu,seseorang yang ikhlas hatinya itu akan sentiasa mengingati Penciptanya dalam setiap apa yang dia lakukan.Dia akan mendapat keredhaan Allah dalam hidupnya dan diterima segala amalan yang dia lakukan.Rasullullah  menjelaskan dalam hadisnya:
     ان الله لا يقبل العمل الاخالصا                                    

    Maksudnya:
Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amalan seseorang melainkan ia dibuat dengan cara yang ikhlas.
    Seterusnya,orang yang ikhlas ini mempunyai benteng kebal daripada penguasaan syaitan dan terhindar daripada godaan serta hasutan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia  terutamanya mukmin yang beriman.
    Ketiga, dapat mempertingkatkan kedudukan yang tinggi. Kedudukan individu muslim yang ikhlas  ini ada disebut oleh Rasullullah melalui hadisnya yang bermaksud:
    “Bahagialah bagi golongan yang ikhlas iaitu mereka yang berada di antara kita tidak kita sedarinya dan apabila mereka tiada di antara kita,kita tidak akan terasa kehilangannya”.
    Terakhir, boleh membunuh rasa wa-was yang ada dalam diri seseorang itu. Allah lebih menyukai golongan mukmin yang ikhlas untuk diberi pertolongan dan diberi hidayah kepadanya. Hal demikian terbukti melalui sejarah. Contohnya, kemenangan perjuangan Rasullullah dan para sahabatnya dalam siri peperangan dengan kaum Musyrikin Quraisy di Makkah adalah kerana pertolongan Allah,mereka berjuang dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

7.3.2    MASYARAKAT

Ikhlas memainkan peranan yang  penting dalam kehidupan sesebuah keluarga. Pasangan suami isteri itu akan saling ikhlas  berkasih sayang dalam rumahtangganya, menjaga kerukunan rumahtangga,bersilaturahim dan bergaul baik antara suami dan isteri. Seorang suami itu tahu menjaga diri dan menutup segala rahsia isteri serta tidak menuntut sesuatu yang lebih daripada apa yang dia perlukan.Manakala,sang isteri pula ikhlas bekerja untuk suami dan berkhidmat dalam rumahtangganya dalam segala perkara yang mampu dilakukan.Hal demikian inilah yang telah dilakukan oleh para isteri sahabat Radhiyallahu Anhum.
Seterusnya, antara adik beradik dan saudara mara. Memberikan senyuman yang ikhlas ketika bertemu. Sentiasa menghubungi mereka ketika ada masa terluang dan tidak sesekali memutuskan ikatan silaturrahim yang terjalin.Memberi sesuatu dengan hati yang ikhlas  kepada adik- beradik atau saudara mara tanpa mengharapkan ada balasan. Terakhir, tidak lupa berterima kasih atas pemberian yang diberikan sebagai tanda penghargaan.
Dalam kehidupan  masyarakat yang berbilang bangsa dan agama ini, sifat ikhlas sangat berkaitan dalam kehidupan mukmin seperti golongan masyarakat guru.Guru yang memberikan ilmu yang dimilikinya dengan ikhlas akan mendapat rezeki yang berkat daripada Allah S. W. T. Selain itu, guru yang mengajar juga akan mendapat pahala yang berterusan walaupun dia telah meninggal dunia seandainya pelajar-pelajarnya mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah dipelajarinya. Malah,jasa-jasa guru turut dihargai dan disanjungi apabila pelajar itu berjaya kelak.                        
Bagi golongan pelajar yang ikhlas dalam menuntut ilmu pula,didoakan kejayaaannya oleh malaikat dan makhluk-makhluk ciptaan Allah di darat atau di lautan disamping mempunyai banyak ilmu yang bermanfaat yang boleh dikongsi dengan orang lain dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Pelajar yang ikhlas membantu guru-gurunya juga,akan disayangi dan didoakan oleh cikgu tersebut.Malahan pelajar yang ikhlas dalam menuntut ilmu itu juga akan sentiasa menumpukan perhatian semasa guru sedang  mengajar dan sentiasa menjaga hati cikgunya. 


















8.0    KESIMPULAN
   
Kesimpulannya,segala kesenangan  di antara kesenangan dunia,sedikit atau banyak jiwa merasa senang dan hati cenderung kepadanya.Apabila hal itu mencampuri amal,maka kesucian amal tersebut akan ternoda dan keikhlasannya hilang. Ini kerana orang yang ikhlas dalam beramal adalah orang yang tiada pendorongnya kecuali untuk mendekatkan  diri kepada Allah. Ini tidak akan dapat dibayangkan kecuali orang-orang yang mencintai Allah, iaitu orang yang dalam hatinya tiada tempat untuk mencintai dunia.

Oleh kerana itu,untuk menjaga ikhlas harus dengan cara menghilangkan  kesenangan diri, memutuskan ketamakan  untuk  dunia dan semata-mata bertujuan untuk akhirat di mana hal itu diputuskan di dalam hati. Jika hal itu terjadi, maka akan mudah mewujudkan sifat ikhlas dalam hati.

Betapa banyak amal-amal yang dilakukan manusia dengan bersusah-payah dan dia menyangka amal yang dilakukannya adalah ikhlas kerana Allah, namun di dalamnya terdapat tipu daya dan kesia-siaan sebab dia tidak melihat ada cara yang membahayakan di dalamnya

Oleh kerana itu, seorang hamba Allah harus berhati-hati dan menilai sesuatu yang dilakukannya dengan teliti. Jika tidak, maka tanpa dia sedari dia telah mengikuti pujuk rayu syaitan. Semoga Allah sentiasa menganugerahkan kita keikhlasan dalam beramal untuk meraih syurgaNya. Segala puji bagi Allah yang Maha Esa.